Aktiviti kami selain daripada kelas-kelas harian adalah aktiviti berziarah. Ziarah termasuk menziarahi warga Malaysia yang sudah berkeluarga yang menetap di Yaman, menziarahi para hubabat (rumah para habaib) dan menziarahi maqam para awliya'.

Pendek kata, ziarah menjadi suatu kelaziman sepanjang berada di Tareem. Kenapa? Kerana pernah penulis terdengar daripada Ustaz yang mengajar topik tasawuf bahawa selain membaca AlQuran dan wirid, berkhidmat kepada sesama muslim, membersihkan hati, ziarah juga antara ubat bagi membersihkan hati.

Kalau diperhatikan semua cara-cara untuk mendekatkan diri dengan Allah itu sangat payah dan memerlukan mujahadah. Benar, permulaan pada suatu kebaikan itu sangat payah. Perlukan istikhlas. Namun lama kelamaan ia menjadi sajiah dan kebiasaan. Malah bertambah seronok apabila berkunjung. Mana taknya, masing-masing menyediakan juadah yang sedap ketika kami berkunjung! Alfu syukran kepada tuan rumah yang tidak henti menyambut kedatangan kami, sejak Syaaban ke Ramadan (menyediakan juadah berbuka). Malah mereka (warga Malaysia) di sanalah yang menjadi tempat asbab kami bergantung dan menyediakan khidmat yang luarbiasa apabila sahaja kami dilanda kesulitan. 

Alhamdulillah keselesaan yang tiada tara yang diperlukan ketika pengembaraan amatlah disyukuri. Haruslah hamba itu berterima kasih kepada hamba supaya dia dapat berterima kasih kepada selayak-layak pemilik syukur iaitu Allah azza wajalla.

Adapun kunjungan ke rumah Sayyidi Habib sungguh menyeronokkan jasad dan merehatkan hati. Mengenyangkan perut jasad dan perut rohani. Biasanya kami akan solat berjemaah di sana, mendengar kelas daripada Hubabah lalu dijamu lagi dengan makanan yang sedap-sedap.. Biasanya pelajar Darul Zahraa akan gembira apabila berpeluang menziarahi.

Berada dekat dengan para hubabat.. Melihat mereka sebagai ibu. Melihat mereka sebagai guru. Melihat mereka sebagai para wali. Setiap perbuatan, setiap kata-kata tidak akan pernah lari daripada orientasi ketaatan. Tidak pernah lari daripada paksi yang memutar seputar Ilahi. Sentiasa berada di zon menyaksikan Tuhan. Mereka bisa menggegarkan hati pendengar. Mereka bisa menggegarkan alam. Dengan qaul haq. Dengan doa tulus diiringi hati yang pecah-pecah dan pecah.. Hati yang takutkan Allah dan akhirat.. Hati yang merintihh...


أنا عند منكسرة القلب من أجلي
Aku berada bersama hamba yang pecah hatinya keranaKu

Siapa yang berani tidur di kelas Hubabah? pasti akan terjaga. Siapa yang berani bercakap-cakap ketika Hubabah mencurah ilmu? pasti ditegur sampai tidak mahu mengulangnya lagi. Siapa yang berani menampakkan aurat ketika kelasnya? Pasti terus menutup aurat dengan kain yang ada..

Semuanya WAJIB ditekankan waktu kini. Adab menjadi topik. Siapa yang tiada adab akan mencuaikan segala perkara kebaikan yang berupa perkara mustahab (perkara sunat). Siapa yang mengabaikan sunat pasti dialah yang mengabaikan wajibat dan fardu.

Akhirnya, apa yang dapat dijadikan penyaksian adalah suatu kefaqehan yang diakui mengalir dalam diri para hubabat dan ustazah di sini. Walaupun muslimah, mereka ibarat para masyaikh dalam hukum hakam. Subhanallah teringat pada ustazah-ustazahku, mulut mereka sarat dengan hikmah, hati mereka sarat dengan khasyah, dan dada mereka sarat dengan ilmu yang membawa kepada amal!.

p/s : Sudah bertemu ramai contoh faqehah muslimah mursyidah. Sudah bisa memadamkan asumpsi bahawa wanita tidak boleh faqeh dalam ilmu agama.. Allahummaj'alna minal ulama al 'amilat.. ameen. ameen. ameen!.