Bukan makam sahaja destinasi kami. Antara lainnya adalah berkunjung ke Masjid-masjid yang telah dibina sejak zaman dahulu lagi. Masjid-masjid Imam Haddad, Imam Muhdar, dan banyak lagi. Kalau di tempat Imam Ali Al-Habsyi, mereka sudah mula membina ribath iaitu tempat untuk anak-anak kecil mahupun dewasa bertalaqi menuntut ilmu agama.
Ribath yang dibina menempatkan kelas-kelas serta tempat penginapan untuk para tolibul ilmi. Tidak jauh daripada Ribath, bertambah keberkatan tempat ini kerana di situ terletak makam Imam Ali Al-Habysi. Ribath ini juga bukan sahaja diwujudkan di Tarim bahkan sudah berlokasi di macam-macam tempat termasuk di Makkah Al Mukarromah.
Masjid, ribath dan makam menjadi antara destinasi melihat bagaimana Islam itu berusaha dikembangkan dengan giat oleh pembawa risalah baginda Nabi sallallahualayhiwasallam. Begitu juga dengan destinasi menarik iaitu Teratak Para Wali yang juga berada sekitar makam mereka.
Teratak Imam Al Haddad, Syekh Abu Bakar Salim & Imam Ali Al Habsyi. 3 teratak yang serba sedikit memberi bayangan para syekh ketika mereka masih hidup. Termasuk tempat tidurnya, (katil yang ditinggalkan), tempat beruzlah (bilik kecil atau ruang yang dilazimi untuk beribadah dan bersujud), ruang murajaah atau mengajar ilmu, juga mereka kadang-kadang masih meninggalkan kitab-kitab thurath yang disimpan rapi oleh para waris masyaikh tersebut. Ruang sederhana yang sudah cukup untuk mereka 'mengembara' di dunia yang sementara ini.
Di tempat Imam Ali Al Habsyi (yang tidak jauh beza nasab dengan baginda Nabi) kehadiran kami diraikan oleh cucu-cucu Syeikh, keturunan Imam Ali Al Habsyi. Mereka membawa kami bertemu dengan anak-anak ribath yang kecil-kecil molek dan gigih menuntut ilmu, mereka juga duduk bersembang dengan kami bersungguh menceritakan kemuliaan Imam Ali Al Habsyi serta kisah hayatnya. Mereka juga mengiringi kami ke makam, bersama-sama berqasidah, berdoa dan merindui jasad yang sudah meninggalkan..
Selepas itu, kami bersama-sama naik ke rumah mereka, dijamu dengan minuman barakah tentunya dari tangan mereka, keturunan baginda sallallahualayhiwasallam yang mulia.
Seterusnya, sambil mereka menyambung cerita, kami sempat menjelajahkan lirik mata ke almari Syekh. Subhanallah! Penuh dengan kitab-kitab thurath yang sudah kuning-kuning mewarna namun masih utuh..
Gigih Subhanallah. MasyaAllah.
Selepas itu, mereka mengeluarkan sebuah kotak yang sedang-sedang saiznya. Apakah yang tersimpan dalam kotak itu?
Sehelai baju lusuh yang masih utuh, berwarna hijau. Dijahit dengan benang yang keras. Masih lagi menampakkan sebuah gamis panjang milik Imam Ali Al Habsyi. Satu sandal yang juga nampak tahan lama setelah mungkin terjaga dengan baik oleh waris-warisnya. Sehelai rida' putih yang halus teksturnya. Juga sebuah mangkuk kaca tebal yang digunakan Syeikh ketika menyedekahkan kurma kepada fakir miskin semasa hayatnya dahulu. Kami ambilkan mangkuk itu, mengisikan ke dalamnya air sejuk lalu dihirup seorang demi seorang dengan tegukan yang mengenyangkan.. Dengan niat Allah mengurniakan himmah Syeikh kepada kami.. ameen!.
Kami wida'kan ahli keluarga Syeikh rahima hullahu anhu dan melangkah keluar dengan sebening kesyukuran..
Adapun begitu juga kediaman Imam Al Haddad, tidak lari daripada design rumah seperti rumah Syeikh yang lain. Namun nampak lebih terjaga seperti baru semalam Imam meninggalkan kita. Meja tempat murajaah ilmu, sudut beruzlah dan tasbih yang besar saiz butirnya yang mengandungi 1000 butir antara perkara yang kami dapat lihat di rumah Imam Al Haddad. Dahulu terdapat retakan di dinding rumah Syekh, diceritakan ketika Syekh mengangkat takbir ihram untuk solat, retaklah dinding tersebut. Juga tempat Syekh meletakkan dahinya bersujud meninggalkan kesan bau wangi yang semerbak -bau yang sama apabila kita dapati di makam-makam..
Di teratak Syekh Abu Bakar Salim, terdapat sebuah katil, dan tingkap usang yang dikatakan tingkap tersebut digunakan oleh Syekh untuk menghantar barang ke Mekah. Melalui tingkap tersebut juga, Syekh nampak seluruh dunia dan segala isinya. Kerana para wali ini, meremehkan dunia, maka Allah menjadikan dunia kecil bagi mereka. Ibarat sebuah piring yang dibacakan ahwal seluruh isinya..
*Wallahualam. Semoga kita meraih kemuliaan mereka, di dunia & akhirat.

0 comments:
Post a Comment