Kami dipesan oleh Hubabah Nur (isteri kepada Sayyidi Habib Omar Al Hafiz) untuk sentiasa iltizam dengan jadual yang sudah disusun. Dari pagi ke malam. Dari malam ke subuh. Daripada program ilmiah kepada program-program keramaian. Semuanya ibarat preskripsi ubat oleh doktor. Untuk pesakitnya. Haruslah diambil pada masa tertentu dalam kadar tertentu. Tujuannya apa? agar sembuh daripada penyakit. Maka apatah lagi untuk membuang penyakit hati? Pasti perlukan ubat yang bernama Mujahadah.
Selain Hubabah Nur, mereka adalah ustazah Aisyah (anak Sayyidi Habib) dan ustazah Fadwa. Insan-insan yang mungkin sudah sampai perjalanan menuju Allah. Insan-insan waliyah. Yang ditaklifkan untuk menjadi 'doktor' kami. Mereka tidak lepas berpesan, mencurah hikmah dan menegur. Berkorban masa dan tenaga berkejar menjaga pelajar daurah Darul Zahraa. Dan sentiasa memastikan iltizam kami dengan waktu yang sudah ditetapkan.
Tidak lain yang menentukan jadual ini adalah Sayyidi Habib Omar. Bukanlah jadual saja-saja. Namun jadual yang sudah disusun dengan petunjuk Sayyidina Muhammad yang mulia lagi terpuji sallallahualayhiwasallam. Yang kebersamaannya dirasai oleh kami. Yang sudah pemurah dan mengambil berat ahwal umatnya. Yang tidak lokek untuk bersama kami. Mendoakan kami, umatnya. Yang adalah Kekasih. Kekasih yang tidak pernah ditolak permintaannya apabila meminta. Allah akan beri sehingga baginda Redha! Berbahagialah wahai umat Baginda..
Sempena bulan Syaaban, kami menghadiri kelas-kelas (seperti kelas di kuliah malah sekolah berbentuk talaqi) bersama ustazah-ustazah dari Yaman.
Kelas-kelas ini terdiri daripada 4 fasl : fasl Al Quran, Hadis, Feqah, Adab.
Al Quran ikut mustawa. Surah-surah akan dihafal dan ditasmi' oleh ustazah.
Hadis daripada kitab Quthuf Al Faliheen oleh Sayyidi Habib (yang dipetik daripada Riyadhus Soliheen)
Feqah pula daripada Muqaddimah Khadramiah (syarahnya Busyro Kareem)
Adab buku Hadeeqah Aneeqah (syair Arab)
Semuanya bergantung kepada mustawa (tahap) yang ditentukan semasa mendaftarkan diri di Dar ini. Selain kelas yang berupa sekolah harian di waktu pagi, kelas bersama Hubabat dan tenaga penyelia pelajar daurah diselang seli dalam keadaan santai, kadang-kadang di musolla selepas solat fardhu (dalam keadaan masing-masing bertelekung) atau lebih santai kami dijemput sendiri ke rumah Hubabah dan Sayyidi Habib untuk mendengar pengajian daripada Hubabah Nur.
Adapun kelas bersama Habib Omar mengikut waktu Darul Mustafa. Setiap hari seusai solat Subuh sehingga syuruk. Ditambah waktu petang yang disebut rauhah ilmu. Bersiap siagalah kami menyediakan telinga kerana hanya suara habib yang akan kedengaran daripada corong-corong radio memenuhi segenap ruang Dar. Ataupun kami akan berkumpul di Musolla Ummu Abiha untuk melihat Sayyidi Habib di kaca televisyen dipancarkan live dari Dar satu lagi yang jaraknya hanya sepelaung dari Dar ini.
Kelas Sayyidi Habib : Kitab Qutul Qulub oleh Syekh Abu Tayyib Al Makki, Kitab Qudwah Hasanah Fi Manhaj Addakwah ilallah, Syeikh Muhammad Alawi Al Maliki, Kitab Awariful Maarif oleh Imam Sahrurdi. Bulan Ramadan kitab yang berkaitan dengan puasa.
*alhamdulillah kami dapat bertalaqi menghabiskan kitab yang dibaca sepanjang daurah.
Yang paling menarik ketika kami menjadikan sebermula malam Jumaat (start maghrib Khamis) ke petang hari Jumaat sebagai Hari Raya Hari 'Aidh yang sangat menggembirakan sama seperti meraikan aidh yang lain. Hari untuk menguntai rindu. Hari untuk memanjat syukur kerana dikurniakan seorang Nabi yang sangat kasih dan cinta pada Ummah. Seorang Nabi yang akan menjanjikan kebahagiaan buat Ummah. Seorang Nabi yang sanggup bergadai apa sahaja demi Ummah yang pernah atau tidak pernah bersua jasad dengan baginda. Namun hakikat bertemu roh, bahawa Nabi tidak pernah tiada walau jasadnya sudah pergi lama.. namun rohnya sentiasa mendengarkan kita..
Rancaklah pelajar Dar bermawlid menjadikan ianya satu-satu hiburan yang halal untuk dinikmati malah terus menghubungkan mereka dengan Rabbul Izzati kerana memuja muji kekasihNya..
Bau-bauan bukhur yang dipasang sudah meresap ke dalam rongga hidung lalu meresap lebih dalam ke hati, lahirlah detiknya berkata : Sediakan hari Jumaatmu demi 2 kekasih agungmu!.
Syukur tuhan!

1 comments:
Assalammualaikum... maaf.. boleh tak akak nak mintak hubungi penulis utk bertanya mengenai safar ke tareem ni? Boleh email ke zima.kamal@gmail.com
Post a Comment