فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

Berdebar menunggu keputusan. Bukan keputusan apa. Keputusan daripada pihak atasan Dar untuk mengizinkan kami keluar hari ini dari Dar, menziarahi para awliya Allah. Begitu mereka menjaga pelajar-pelajar Dar Saidatina Fatimah ra ini..

Alhamdulillah!. Dibenarkan.

Begitulah kebiasaan kami. Aktiviti ziarah boleh jadi akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Ketika diri sudah bersedia atau last minute persiapan. Kesimpulannya harus sentiasa bersedia semasa berada di Dar. Kalau tidak, tremco yang menunggu di luar perkarangan Dar akan berani-berani meninggalkan. Maka rugilah peluang di Dar andai tidak terkejar-kejar. Setiap jarum yang berdetik di Tarim ini berupa kebaikan yang harus direbut belaka.

Bermula perjalanan ziarah kami di perkuburan Zanbal yang mengumpulkan ribuan para Awliya'.. Dan makam yang paling dimuliakan di perkuburan Zanbal adalah Makam Al Imam Faqih Muqaddam.. Selain itu, terdapat Makam Imam Al Haddad dan Makam Ahli Badar.
(ruh yang paling kuat adalah ruh para syuhada' dan antara para syuhada, ruh mereka yang berperang dengan Nabi adalah ruh yang paling dimuliakan) Al Fatihah buat mereka..

Memulakan bidaah hasanah kami disitu, membaca Surah yasin, doa menziarahi kubur, mendengar sedikit penerangan tentang Syeikh oleh orang yang berada disitu (taaruf dengan Syeikh) lalu bersama sahabat-sahabat kami bertawasul memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. 

*Ya Allah sesungguhnya, jauhnya hamba daripadaMu.. Sesungguhnya hinanya hamba disisiMu, sehingga aku bertawasul kini dengan hambaMu yang soleh.. demi kecintaanMu kepada hambaMu yang soleh, terima lah aku.. ampuni dosaku.. Sebagaimana Kauberikan keakraban kepada mereka, sebagaimana Kaukurniakan mereka hakikat, Kauruntuhkan hijab yang menghalang makrifat, Kaulebihkan mereka berbanding hamba-hambaMu yang lain, jangan Kauharamkan kami daripada semua itu...

*Sesungguhnya Allah Maha Pemurah, bukankah? Hasyaka Allah daripada sebarang kekurangan dan naqs. Tanzih untukMu Ya Allahh. Dengan kamalMu dan asmaMu yang sempurna... Kami dahagakan bimbinganMu... Kepada siapakah hati ini harus dipulangkan, siapa yang mahu menerima hati yang sudah kotor dan rosak ini, melainkanMu Ya Allahh.. Ya Motahhir Qulub, Tohhir, Zakkiiii...

Semoga ruh awliya' mendengarkan dan menghadirkan ruh untuk mengaminkan segala doa. Alfatihah buat Al Imam Faqih Muqaddam..


Apakah Syurga itu Tuhan? Sehingga wangi-wangiannya kekal.. Apakah keindahannya Tuhan? Yang Kaunampakkan pada para waliMu. Mengesat-ngesat tangan di batu nisan, mengucup-ngucup batu nisan -sangat tidak digalakkan ketika menziarahi makam- namun hal itu menjadi ghalabah buat zuwwarnya. Kerana tidak tahan agaknya dengan wangian yang menusuk kalbu. Menjadi hati serba tidak kena merindui Sohib Makam.. Hati tidak keruan dengan alam barzakh.. Hati mula cair dengan khabar negeri sana.. Semerbak bau wangian menghiasi makam para wali Allah. Bukan seperti wangian di dunia, yang hanya tahan sementara. Itupun sudah kadang-kadang ada yang tidak selari dengan taste masing-masing.


وكل إنسان ألزمناه طائره في عنقه ونخرج له يوم القيامة كتابا يلقاه منشورا
اقرأ كتابك كفى بنفسك اليوم عليك حسيبا


Kicauan burung-burung riuh memenuhi segenap ruang yang dahulu sepi, seraya kesyahduan datang menyelubungi diri pengunjung Zanbal ini. Sehingga terdetik, apakah yang dikicaukan burung-burung ini, andai sahaja kufahami dan mengerti bahasa burung..
ciut ciut ciut berzikir ke hadrat Ilahi..

Panas semakin terik. Tiada rasa kisah kerana ahwal para wali menyejukkan nurani, tersebar ke saraf-saraf masuk ke hati.. Sehingga kami sedang mahu melangkah seterusnya menuju ke makam Imam Al Haddad, kami lalui satu jalan yang dikatakan : "berdoalah apa sahaja di sini, insyaAllah dimakbulkan!"

Sungguh syahdu hati, apabila berpijak di laluan itu. Berdoa sambil menapak langkah demi langkah ke arah makam. Sengaja dilambatkan langkah agar bisa perbanyak doa. Para zuwar terus berkumat kamit menuturkan sebuah harapan & doa...

Sehinggalah kami tiba disamping Imam Al Haddad, -beberapa kali juga kami sempat berkunjung ke Zanbal- Alhamdulillah, sempat mengkhatamkan 2 kitab yang diambil daripada Dewan Imam Al Haddad, antaranya kitab Adab Suluk Murid. Moga Allah kurniakan husnul amal, ameen.

Hari yang sama, kami meneruskan perjalanan ke Inat. Untuk menziarahi ahli bayt yang bernama Syeikh Abu Bakar Salim. Walaupun jauh dari Dar, kami diberi keizinan oleh Sohib Makam, juga dengan izin Allah untuk menjadi penziarah 'tegar' yang nampak bagai tidak serik-serik ataupun tidak cukup sekali mengunjung. Asalkan ada peluang, kami terus ikut menziarah.. Alang-alang ziarah, semoga Syekh kenal kami yang banyak kali menziarahi beliau ini.. 

Di sini kami mengutip pasir Syifa yang dikatakan boleh dibuat berubat dan insyaAllah sembuh. Iaitu antara karamah Syeikh. Yang mana? Mana-mana boleh diambil asalkan pasir sekitar makam beliau. Walaupun hanya khabar pasir, namun wanginya masyaAllah! sudah tidak dapat dilupakan.. Sehingga apabila dibawa pulang pun, masih lekat wangian itu.

Menziarahi Imam Muhajir Ahmad bin Isa. Beliau adalah ahli bayt yang berhijrah demi menyampaikan Islam di Yaman. Makamnya lebih tinggi daripada makam-makam yang kami biasa ziarahi kerana kedudukannya yang terletak di atas bukit. Tremco membawa kami naik bukit kerana mana mungkin kami berjalan kaki sendiri dek ketinggian yang rasa-rasanya tidak mampu untuk didaki. Di sini, selain membaca Yasin ada bidaah hasanah lain yang kami lakukan. Katanya dulu-dulu ketika Syeikh masih hidup, Syeikh akan memanggil nama seseorang di lubang tingkap, maka pemilik nama itu akan datang kepada Syeikh.

Kami pun bergilir-gilir beratur untuk berada di lubang tingkap yang sama, menjadi Syeikh konon-kononnya. Lalu kami panggillah nama-nama yang terlintas di benak fikiran untuk dipanggil dengan harapan dan keyakinan bahawa mereka akan sampai di bumi Yaman ini kerana ruh mereka telah diseru. Hal yang sama dengan mereka yang sudah sampai, sama ada namanya pernah dipanggil ataupun para wali di sana sendiri yang menamu mereka. InsyaAllah.. semua yang berhajat pasti akan sampai dengan izin Allah.

Baanyak lagi makam yang diziarahi tetapi tidak sempat diceritakan kesemuanya. InsyaAllah Alfatihah dan salam sejahtera kepada semua Sohib Makam di bumi Tarim Yaman atau di mana-mana pelusuk bumi Allah. Semoga Allah tidak mengharamkan kepada kita kemuliaan yang Allah pakaikan kepada mereka semua, semasa kita hidup mahupun semasa kita berada dalam makam yang menjadi nasib akhir kita semua.. Kita semua akan merasai penghujung yang sama..