"..akak, yang penting adalah ADAB & TA'ZIM..."
"..cukup 2 perkara yang perlu dalam suluk; INKISAR & ADAB.."
Semoga insan yang suka memberi nasihat dan hikmah lalu diamalkan oleh insan yang mendengarnya diberi pahala yang kekal dan tertulis dalam sohaif amalnya untuk dibentangkan kepada Allah kelak dalam keadaan cemerlang. MasyaAllah!.
Dengan kata-kata itu, sungguh benar. HATI. HATI. HATI. adalah permulaan jalan kepada Rabb. Kerana apa?
Kerana hati tempat jatuh pandangan Allah.
Kerana hati adalah Raja bagi jawareh (anggota lain)
Kerana hati adalah penentu yang lain. Seandainya ia elok maka yang lain akan elok.
Maka Beradablah Wahai Hati. Dengan makhluk & dengan Khalik. Pada waktu terang pagi & dalam gelap malam. Ketika bersama keramaian & ketika bersendiri. Beradablah hati!.
*Melangkahkan kaki ke Dar ini.
Terngiang-ngiang lagu Darul Zahraa yang dinasyidkan pada setiap hari persekolahan yang dihadiri pada bulan Syaaban. Yang kandungannya sarat dengan harapan dan doa agar Allah menjaga Dar ini serta pelajarnya. Supaya mengeluarkan pelajar yang dapat menyumbang pada Ummah. Merekalah juga nanti yang membawa harapan Sayyidatina Fatimah radiallahu anha apabila mereka sudah keluar dari Dar ini.
Melangkahkan kaki ke pintu Dar ini, perkara pertama yang didapati adalah Senyuman Manis serta akhlak ahli Dar sekalian. Ringan tangan. Mereka tidak membenarkan kami membawa sendiri bagasi ke dalam. Mereka terus menjemput kami ke bilik dhuyuf dan kami dijamu dengan air serta manisan. Bagasi kami sememangnya dari tadi tidak langsung kami rasai beratnya -kerana sudah dari awal dibawa oleh pelajar Dar sejak di airport yang sangat mengambil berat tentang maudu' khidmat.
Alhamdulillah. Rasa risau dan bimbang sudah makin luput. Sudah mula hilang kejanggalan berada di tempat baru. Tambahan bangunan Dar ini memang meluaskan pandangan mata, menghias dirinya untuk ditatap oleh tetamu yang ingin bermukim sejak awal kami memandangnya. Memang indah yang tiada tandingan. Dar ini dikelilingi bukit yang nampak bercahaya malam dan paginya. Subhanallah. Angin bertiup tenang, menusuk ke hati membuat bibir menutur kalimah hamdalah yang tidak putus...
Pelajar Dar ini terdiri daripada pelbagai tahap umur sehingga tidak dapat meneka umur sebenar pelajar tetap Dar ini. Nur manis terpancar di wajah masing-masing. Nur itu jugalah yang menyatukan walaupun umur membezakan. Ulfah dan ukhwah bercerita tanpa diminta. Menunjukkan erat tali perhubungan kerana Allah. Ramah mesra mereka tunjukkan, menghulur tangan meminta ukhwah yang baru agar dijalinkan..
Masing-masing ditunjukkan bilik yang akan diduduki selama sebulan. Sahabat yang berbaki berpeluang menghabiskan sebulan mereka dengan pelajar dari Kenya. Mereka -sahabat Kenya- yang kami kenali dengan perwatakan yang sentiasa menceriakan, sentiasa mengambil berat dan bersih hati itulah mereka yang mengajar 2 kalimah baru dalam bahasa Kenya iaitu -chakula (makan) & -funga belangga (tutup pintu) yang sentiasa kami ulang-ulangkan dengan penuh berbangga kerana mampu berbahasa Kenya.
Adapun diri ini, berpeluang mengikat ukhwah dalam bilik bersama pelajar dari Indonesia. Hasil ukhwah yang terjalin amat berbekas dalam hati kami, masyaAllah!. Mereka membuatkan diri ini ingin berkunjung ke Indonesia, untuk menjamah pengalaman praktis Islam di sana. Rata-rata sahabat di bilik, adalah mereka yang sudah memondok di Indonesia dan sudah habis menghafaz 30 juzuk Al Quran. Bayangkanlah betapa gembira kehidupan sebulan di Dar ini kerana kehidupan yang dihiasi dengan Ahlillah di sana sini. MasyaAllah!.
"Apabila Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang, maka akan diberikan seorang sahabat yang akan sentiasa mengingatkan"
"Tiada diharapkan daripada seorang sahabat melainkan untuk menjadi pemberi syafaat di akhirat kelak. Moga bukan sahaja menarik ahli neraka ke syurga malah andai ahli Quran sudah merasai fadhilat khusus untuk mereka di syurga, mereka sudi berkongsi nikmat yang dirasai di syurga kelak oleh sebab ukhwah di dunia dahulu. Ameen, Ameen!"

0 comments:
Post a Comment