“ Telah datang ahli Yaman, mereka adalah orang yang selembut-lembut hati dan selembut-lembut sifat, Iman itu di Yaman, dan Fiqh itu di Yaman, dan Hikmah juga di Yaman”  
(Hadis Sohih- riwayat Muslim)

Yaman- Bumi Yang Penuh Rahsia..

Rahsianya Yaman adalah seperti seorang insan yang melazimi khumul untuk merapati Tuhan.  Penuh rahsia dalam diam. Penuh rahsia dalam sembunyinya. Namun apabila digali, khabarnya indah dan menenangkan. Apabila digali, hikmahnya memancar sebuah hati dan nurani. 

Sebermula langkah ke bumi Yaman. Harus menempuh jalan yang sedikit berliku. Tentunya kerana bumi ini bumi yang penuh kesucian dan kemuliaan. Sesiapa yang masuk ke bumi ini harus berusaha menjadi suci dan mulia juga. Batin dan zahirnya. Mungkin bumi ini tidak akan menerima tetamu yang berniat bukan-bukan atau berniat dunia atau berniat sesuatu selain Tuhan.

Terkandas di lapangan terbang Sana'a. Ya, untuk masuk ke bumi Tareem. Bahagian muka bumi yang terdapat para habaib dan hubabat. Yang terdapat maqam para awliya'. Yang terdapat bukit bukau yang mempesona. Yang terdapat tarbiyah dan tazkiah. Bagi yang menginginkan..

Beberapa hari juga terkandas. Menginap beberapa hari di Ribat Bumi Sanaa cawangan Darul Mustafa sallallahualayhiwasallam bersama teman-teman yang senasib dengan diri. Duduk di sana, membersihkan hati dan diri. Mentajdid niat sehingga di'benar'kan masuk ke bumi Tareem.

Apa nasib kami selepas itu?...