Yaman bukan Mesir. Beza Yaman dan Mesir adalah daripada sudut kebebasan. Daripada kaca mata seorang perempuan muslimah. Namun kedua-duanya betul kerana 'adah muhakkamah. Kerana ikhtilaf dalam Islam itu jua rahmah.

Andaikata kamu muslimah yang sering-sering menahan bas di tepi jalan ketika belajar di Mesir. Seringkali mengira-ngira wang ongkos untuk menaiki teksi memecut laju ke tempat pengajian.. Kamu sudah tidak bisa lagi begitu di Yaman. Itulah sedikit perbezaannya. 

Kelas pengajian di Dar hanya cuma perlukan kamu memanjat tangga untuk berada di tempat pengajian itupun kalau ditempatkan di tingkat bawah. Barang-barang keperluan pula bolehlah dibeli di kedai yang sudah sedia ada di dalam Dar. Ada tiga kedai, Kedai Buku, Kedai Runcit & Kedai Telefon. Rasa-rasa sudah begitu cukup dalam kembara sebulan di sana. Untuk keluar dari Dar, tidak dibenarkan melainkan dengan izin yang kukuh. Begitu juga untuk ke kedai di luar Dar juga sangat tidak digalakkan (ianya satu aib) melainkan kamu sudah berkahwin dan merupakan seorang madam.

Pakaian yang dipakai di sana ketika keluar hanyalah pakaian jubah dan burqa yang berwarna hitam. Begitu indah Islam menjaga wanita. Kata ustazah di sana, kita memakai pakaian sunnah (mendapat pahala apabila diniatkan) imtisalan liSaidatina Fatimah Azzahra radiallahuanha yang sangat terkenal dengan sifat pemalunya. Saidatina tidak pernah menampakkan perhiasan tubuhnya, malah potongan tubuhnya kerana pakaian yang dipakai jauh lebih longgar daripada bentuk tubuh saidatina. Sehinggakan diceritakan para malaikat disuruh berpaling apabila saidatina melalui sirat kerana ketika di dunia saidatina teramat menjaga hasymah dan kehormatannya.

Adapun di dalam Dar pakaian yang dipakai bersyaratkan menutup aurat sama seperti ketika bersama lelaki ajnabi -walaupun sesama wanita- kerana ianya termasuk adab sesama muslimah dengan muslimah. Malah para malaikat menyertai wanita yang menjaga adab diri.

Pesan Sayyidi Habib Omar : Sentiasa iltizam hasymah dan haya' untuk muslimah.