Dinamakan Hadharamaut kerana Qad hadhara almaut. Duduk di sini seolah-olah sudah menerima khabar daripada Malaikat Maut. Seakan-akan tinggal membilang hari sahaja untuk pulang ke Negeri Abadi. Itulah perasaan dan zouq yang berkunjung dalam diri.. kerana suasana yang diwujudkan mendekatkan jarak dunia dan akhirat. Membangkit jiwa daripada ghaflah dan kealpaan. 

Pada kebiasaannya selain solat fardhu yang ditekankan, melatih diri iltizam dengan solat nawafil menjadi agenda tarbiyah Darul Zahraa. Dari solat rawatib yang 12 (sesudah dan sebelum fardu) antara solat-solat lain yang ditekankan adalah solat Tahajud, Witir, Istikharah, Syuruk, Dhuha, Taubat dan Tasbih. Fadhilatnya disebut-sebut dan kadangkala dianjurkan membuatnya secara berjemaah. 

Andai tertinggal masih boleh diqada walaupun perkara sunat. Itulah mukmin yang sentiasa ingin mengejar kebaikan dan menjadikan dunia ini lapangan mengumpulkan bekalan, akan mengejar walaupun terlepas kebaikannya.. Sepertimana baginda Nabi Muhammad sallallahualayhiwasallam lakukan. Akan mengqada sunat yang tertinggal. Begitu juga harus bagi umatnya mutabaah baginda.

Selain amalan sunat dan zikir, menuntut ILMU amat dititik beratkan. Terutamanya ilmu yang bersambung sanadnya dengan Sayidina Muhammad sallallahualayhiwasallam. Ilmu yang membuahkan amal, melahirkan khasyah, memberi hakikat dan cahaya. Memandu pencarinya kepada sebuah kebenaran.. Ilmu yang diamalkan akan menjadi saksi dan syafaat kepada pengamalnya di akhirat kelak. InsyaAllah!.

**Zammu Addunya


حب الدنيا رأس كل خطيئة
"Cintakan DUNIA adalah kepala bagi setiap kesilapan."




Andai dikira-kira bilakah waktu Sayyidi Habib dan Hubabah berehat?. Memang tidak akan dijumpakan waktu untuk mereka berehat kerana hampir tiap masanya mereka bersama kami bahkan yang paling awal melazimi program di Dar ini walaupun terpaksa berkejar-kejar ke sana sini.. Subhanallah!. Sangat mengagumkan.. 

Mereka adalah MURABBI yang berhimmah dalam beribadah, berhimmah dalam berdakwah. Siddiq dalam berqudwah. Hal mereka hari ini adalah ahwal mereka hari esok. Mereka ahli maqamat, ahli istiqamah dan ahli musyahadah. Ahli mahabbah. Yang mengalahkan penat tubuh mereka dalam meneruskan tugas sebagai mata rantai baginda Nabi adalah keCintaan; kepada Allah & RasulNya.

Tidak akan berkumpul 2 kecintaan dalam Hati; Cinta Dunia atau Cinta Akhirat.

Sesunggunhnya Jalan di dunia ini hanya ada 2; Jalan Kebenaran atau Jalan Kesesatan. 
Jalan Kesesatan (سبل) yang sangat banyak, lalu mengelirukan!.

Orientasi tarbiyah di sini bukan sahaja bermula dengan mengajak meninggalkan perkara yang haram dan melazimi yang harus. 

Namun mengajar seseorang melazimi perkara sunat dan kamaliat serta Warak dalam perkara Harus serta meninggalkannya.

Perkara harus seperti makan, minum, tidur dan sebagainya; dinasihatkan agar diambil dalam kadar yang sedikit. Kerana berpaling daripada Dunia adalah rahsia dekat dengan akhirat. Begitulah yang ditunjukkan oleh para habaib dan hubabat di Dar ini.


 قال رسول الله صلى الله عليه و سلم :
  لو كانت الدنيا تعدل عند الله جناح بعوضة ما سقى كافراً منها شربة ماء 

Sebuah janji
Sejak diciptakan Adam

-Tiada dua keamanan 
Selalu terhimpun
Dalam satu ruang Ilahi-


Dunia memusuhi akhirat

Menjelma wanita tua
Bertepuk suka,
Menari ria.

Mencari si penggila,
Agar ia dihidu,
Akhirat bakal cemburu.

Mengintai tarikannya,


Adalah meneguk fatamorgana,
Bertambah haus,
Muflis..


Terduduk
Termangu
Menangis
Menyesal..!

Bangunlah..
Menyintai sengsaranya,
Memamah muntahnya,

Menempah harum syurga.

Tiada mata pernah menggambar,
Tiada telinga pernah mendengar,
Tiada hati pernah membisik.





Ya Rabbi

Pecahkanlah hati
Matikan keinginan


Dek hati pecah

Suka mendesak Tuhan!