Berjalan kaki -selepas usai sunat Tarawih berjemaah-, ke bangunan yang berhampiran dengan Darul Zahraa bersama sahabat-sahabat fillah. Berkejar untuk menghadiri dars yang disampaikan oleh para masyaikh di sana. Kadang-kadang kitab yang dibuka "Bidayatul Hidayah oleh Al Imam Al Ghazali", kadang-kadang yang lain juga kitab yang dibuka adalah kitab "Ayyuhal Walad oleh Imam Al Ghazali", kitab Syamail Muhammadiah atau kitab Akidah oleh Imam Al-Haddad.
Namun kali ini berjalan kaki untuk menghadiri kelas Habib Ali Al Jufri. Ceramah yang menyentuh tentang Fiqh Dakwah.
Habib katakan "Awlawiyat dakwah pada waktu kini adalah dengan menentang pemikiran yang merosakkan imej terhadap Islam"
Habib membentang istiqra yang dibuat mengenai Umat Islam zaman kini yang majoriti mendapat fahaman yang tidak syumul, atau tersalah faham mengenai Islam akibat keterbukaan sesebuah negara dimasuki fahaman songsang mengenai Islam. Inilah dinamakan Ghazwatul Fikr. Akibatnya, akidah anak muda mudi tergoncang dan goyah. Rapuh oleh tiupan angin kencang yang tidak henti-henti mengotorkan pemikiran mereka.
Habib katakan lagi, hampir semua doktrin pemikiran yang buruk adalah sesuatu yang sama diulang-ulang dari zaman dahulu sehingga kini, cuma ia datang dalam bentuk yang berlainan. Tidak percaya? boleh semak sekian isme yang datang. Setiap zaman sama kandungannya namun gaya serangan yang berbeza.
Apakah yang perlu? perlukan rijal yang menjawab persoalan di benak pemikiran anak muda yang membuak-buak inginkan jawapan dan hakikat. Sehingga kecerdikan intelektual mereka -yang terpengaruh adalah rata-rata yang cerdik- tidak mampu merungkai persoalan akidah yang ditimbulkan. Rijal yang diperlukan ini perlu kuasai ilmu Islam dan perlu kuasai ilmu yang sudah memutar belitkan mereka (rancangan jahat musuh) supaya rijal ini mampu merungkai keserabutan ini satu persatu sehingga kembali lerai.. Inilah awlawiyat zaman ini.
Seperti kita lihat Sekular, Wahabi & Syiah amat berbahaya serangannya kepada umat Islam Sunni..
Antara lain, adalah penekanan kepada akhlak nabawi. Rata-rata mereka tidak menerima Islam atau murtad -waiyazubillahmin zalik!-kerana gambaran yang dibawa olah para daie (yang membawa Islam kepada mereka) tidak menggambarkan Islam yang sebenar. Sentiasa bersikap menghujum para pesalah tanpa memberi ruang, sehingga mereka akan menyudahkan pembunuhan yang ke 100 untuk menggenapkan angka 99 kerana tiada peluang taubat.
Lihatlah para pemaksiat dengan basirah rahmah. Kerana Baginda sallallahualayhiwasallam diturunkan sebagai rahmat ke sekalian alam. Yang menghukum adalah Allah, namun Allah bersifat Rahim dan Rahman yang menjadikan Rahmahnya mendahului KemurkaanNya!.
Tasawuf bukan suatu yang eksklusif. Ia adalah bidang ilmu seperti ilmu lain yang thamarahnya beramal. Ia bisa dilalui oleh sesiapa sahaja yang ingin berjalan dan kembali kepada Allah. Seseorang yang sudah menunaikan solat, puasa, zakat, membersihkan hati takhalli, dan menghiasi akhlak tahalli merupakan salik yang sudah bermula berjalan menuju Allah.
Langit Allah itu luas, ia seperti mengharapkan rahmatNya. Tiada kesempitan di jalan ini. Serta tiada hasad di jalan ini. Mereka yang menginginkan, akan sampai ke hadrat Tuhan.
Tasawuf adalah berakhlak.
Tasawuf adalah iltizam dengan syariat.
Tasawuf adalah memiliki istiqamah sebagai karamah.
Tasawuf berhusnu zhon dengan Allah..
Daripada detik itu, seseorang akan menerima ahwal atau maqamat disisi Allah. Cuma ia berbeza mengikut fadhlu Allah kepada yang dikehendaki..
Semoga Allah sucikan kita sehingga waktu bertemuNya!.

0 comments:
Post a Comment