Tarikat 'alawiyah. Tarikat yang didukung oleh himpunan ahli bayt yang bersambung dengan Sayyidina Nabi Muhammad sallalllahualayhiwasallam. Tentunya setiap tarikat menitik beratkan awrad serta zikir-zikir yang ma'thur sebagai perisai juga sebagai asbab yang mendekatkan diri dengan tuhan.


Khulasoh Al Madad An Nabawi oleh Sayyidi Habib Omar Al Hafiz yang menjadi kelaziman dan zikir pokok semasa berada di Dar ini. Begitu lengkap dengan doa dan amalan yang sudah disusun untuk dibaca tiap kali seusai solat fardu 5 waktu. 


Mengapa perlu berzikir? Kita selalu menjadikan zikir aktiviti masa lapang. Zikir masa menunggu itupun kalau teringat. Kita lebih suka berkhayal dan melakukan perkara yang tidak berfaedah ketika waktu lapang. Alhamdulillah jika bukan perkara haram yang mengotori waktu lapang dan senggang. Alhamdulillah jika bukan perkara sia-sia yang mengisi waktu lapang kita. Namun seafdholnya, zikir itu menghiasi segenap dan sepenuh waktu, lapang atau tidak.


حدثنا ‏ ‏عمر بن حفص ‏ ‏حدثنا ‏ ‏أبي ‏ ‏حدثنا ‏ ‏الأعمش ‏ ‏سمعت ‏ ‏أبا صالح ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏قال ‏
‏قال النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يقول الله تعالى ‏ ‏أنا عند ظن عبدي بي وأنا معه إذا ذكرني فإن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم وإن تقرب إلي بشبر تقربت إليه ذراعا وإن تقرب إلي ذراعا تقربت إليه ‏ ‏باعا ‏ ‏وإن أتاني يمشي أتيته هرولة ‏

Ketika teringat hadis ini, zikir dan beribadah menjadi TUJUAN HIDUP ini.

Alangkah indahnya disebut oleh Allah. Alangkah indahnya mendapat tempat disisiNya, dan alangkah indahnya andai zikir itu -dengan kehadiran hati- yang menjadikan seseorang bisa syahdu dan berasa kerdil serta tenggelam dalam kefanaan, yang hanya ada hanyalah dia dan Allah.. 

Sungguh alam bersama-sama insan yang berzikir. Hanya sanya manusia yang tidak mendengarkan tasbih-tasbih mereka yang lebih deras dan khusyuk serta tawaduk. Biarpun makhluk yang lain tidak semulia kemuliaan Manusia sebagai Khalifah setelah dimuliakan Allah namun mereka lebih mengenali hakikat satu kewujudan dan imdad. Tanpa imdad kewujudan akan bertukar menjadi suatu 'adam dan ketiadaan. Maka dengan imdad yang berterusan, sang matahari berada tepat pada waktunya. Dengan imdad, nafas yang disedut dan dihembus adalah suatu barang yang paling bernilai walaupun percuma di atas muka bumi.

Dunia. Barang yang paling percuma adalah paling berharga. Barang yang dibeli harta adalah barang yang termurah. Dan dengan rahmatNya menjadikan nafas lagi, ketika manusia memerlukannya 24 jam, dan Allah tahu ia tidak pernah akan terbayar, dijadikan percuma. Perkara yang kurang perlu -berbanding nafas-, seperti makanan dijadikan perlukan bayaran, apatah lagi barang-barang yang tidak perlu, seperti rumah mewah dsb dijadikan mahal kerana ketidakperluannya. Wallahualam.

Zikir sinonim dengan tasbih. Walaupun zikir boleh berjalan walaupun tanpa tasbih namun tasbih adalah alat yang dengan adanya terkadang menjadikan zikir lebih deras dan bisa dibilang mengikut insan yang berzikir dengan bilangan tertentu untuk istiqamah.


Terkenang kata-kata seorang ukhti fillah..
"Mengapa para masyaikh walaupun sudah sampai perjalanan menuju Allah masih memegang tasbih di tangannya?"

Saya tersengih-sengih memikirkan jawapan.."tak tahu..!" Jawabnya "..kerana, tasbih itu bidayah mereka. Walaupun sudah sampai nihayah, mereka tidak lupakan bidayah.."

Itulah kelebihan berdamping dengan tasbih. Belum lagi sampai nihayah mahupun bidayah namun sudah tidak mahu dan segan untuk menguntai butir tasbih. Berbanding dengan ahli nihayah yang walaupun sudah merasakan kesan berzikir, ketika itu sudah bisa tidak memegang tasbih sebagai alat, masih lagi bertasbih dan berzikir ke hadrat Ilahi.

Zikir terbaik adalah Lailahaillallah. Kerana itu janji kita dengan Allah semasa di alam barzakh dahulu. Kerana di dalamnya terkandung syariat dan tauhid. Kerana ia adalah KUNCI pembuka syurga. InsyaAllah pengamalnya akan membulatkan akidah mengikhlaskan syariah serta pintu syurga yang terkunci akan luaass terbuka untuknya. Tenggelam dalam memuji Nama Tuhan termulia iaitu "ALLAH" selain Asma Al Husna yang lain yang tersimpan dalam Asma itu seribu satu rahsia..

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ